Mencari Kata, Menatar Tutur

Bismillahhirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, Perpustakaan Universiti Sains Malaysia terus mengekalkan kecemerlangan sebagai gedung ilmu dan memantapkan koleksinya dengan melancarkan sebuah lagi koleksi baru yang dikenali sebagai Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara. Koleksi ini yang terbentuk melalui cetusan idea yang bernas daripada Naib Canselor dan disokong dengan usaha yang gigih daripada pelbagai pihak, terus mewarnai koleksi di Perpustakaan yang berperanan sebagai sebuah institusi yang menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

Koleksi yang merangkumi empat kaum peranakan di Asia Tenggara yang terdiri daripada Kaum Cina Peranakan, Jawi Peranakan, India Peranakan (Chetti) dan Kaum Siam Peranakan (Melayu Samsam) ini akan menempatkan bahan-bahan yang antaranya terdiri daripada bahan bercetak, bahan bukan bercetak, bahan digital dan bahan fotografi. Pihak Perpustakaan sentiasa memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan meningkatkan kepelbagaian koleksi agar dapat dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat dan seterusnya dapat meletakkan Perpustakaan Universiti Sains Malaysia sebagai pusat rujukan utama bukan sahaja di Malaysia, malah pada peringkat antarabangsa.

Pada peringkat permulaan pengumpulan bahan-bahan untuk Koleksi ini lebih tertumpu kepada bahan-bahan dari Malaysia dan sebahagiannya dari Indonesia. Walau bagaimanapun, usaha untuk memantapkan Koleksi ini akan terus dipergiat melalui pengumpulan bahan dari negara luar bagi mewujudkan satu koleksi yang lengkap, bermutu dan bertaraf dunia. Melalui koleksi yang sebegini, sejarah dan identiti kaum-kaum ini akan terpelihara dan dapat dijadikan bahan rujukan pada masa akan datang.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pelancaran Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara. Pihak Perpustakaan sangat berbangga dengan semangat dan kerjasama yang telah disumbangkan terutamanya daripada Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan selaku pusat penyelidikan tentang kaum peranakan ini yang telah banyak membantu dalam merealisasikan Koleksi ini.

Saya berharap agar lebih banyak bahan yang bermutu dan langka (rare) dapat memenuhi Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara di Perpustakaan Universiti Sains Malaysia. Pihak Perpustakaan bersedia untuk menempuh setiap cabaran yang datang selari dengan misinya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti dan menyediakan bahan-bahan rujukan yang terkini dan lengkap bagi menyokong perkembangan universiti ini sebagai sebuah Universiti APEX.

Sekian, terima kasih.

_DSC0110

 

 

 

 

 

 

 

 

Encik Mohd Pisol Ghadzali
Ketua Pustakawan Perpustakaan Universiti Sains Malaysia
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pelancaran
Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *