Memancang Aksara, Mendiri Buana

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama hadir ke Majlis Pelancaran Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara. Ucapan setinggi-tinggi terima kasih juga ditujukan kepada pihak Universiti Sains Malaysia kerana memberi kesempatan dan ruang kepada saya untuk menghadiri majlis yang bermakna ini. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak Universiti Sains Malaysia kerana berjaya mewujudkan satu pusat Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara yang pertama di Asia Tenggara. Koleksi ini bukan sahaja mengandungi bahan-bahan dari Malaysia malah juga dari negara lain yang penting.

Seperti yang anda sedia maklum, Malaysia ialah sebuah negara yang terkenal dengan rakyatnya yang berbilang kaum dan budaya, namun ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan kaum peranakan. Kaum Cina Peranakan, Jawi Peranakan, Melayu Peranakan Siam dan Peranakan Chetti merupakan sebahagian daripada kelompok yang unik ini. Ada antara kaum minoriti ini mempunyai jaringan di negara lain di Asia Tenggara, seperti di Indonesia, Thailand, Myanmar dan Filipina. Negara-negara ini mempunyai sejarah sosiopolitik dan sosiobudaya yang hampir sama.

Kaum peranakan ini memperlihatkan asimilasi budaya yang rencam, dan melahirkan identiti yang unik dan menarik. Walau bagaimanapun, kaum peranakan ini semakin hilang identitinya kerana perubahan sosiobudaya dan politik semasa. Maka penubuhan Koleksi ini merupakan satu langkah USM yang bijak dan ke hadapan. Tindakan ini, memperlihatkan kesungguhan USM untuk mencari, menjaga dan menyelidik bahan-bahan berkaitan peranakan dan memberi ruang kepada umum untuk mengaksesnya. Dengan demikian, bahan-bahan ini dapat digunakan oleh generasi yang akan datang di samping memudahkan penyelidikan tentang kaum tersebut dijalankan dengan lebih giat.

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia mengalu-alukan sebarang usaha untuk memperkasa koleksi ini dan harapan saya melalui jalinan kerjasama dan sumbangan yang dihulurkan daripada pelbagai pihak, Perpustakaan USM akan terus berusaha memantapkan Koleksi ini agar impian menjadikan Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara sebagai pusat rujukan ulung tercapai.
Akhir kata, saya berharap Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara akan menjadi satu mercu tanda akademik yang baharu di Malaysia, seterusnya diiktiraf oleh dunia di samping dapat membuktikan bahawa USM terus bergerak ke hadapan seiring dengan slogannya ’Kami Memimpin’.

Sekian, terima kasih.

KHALID

 

 

 

 

 

 

 

YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Menteri Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia