Menyusun Kata, Mencorak Bicara

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Bersyukur saya ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya kita dapat berkumpul bersama di dalam majlis Pelancaran Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara. Universiti Sains Malaysia sekali lagi menjadi saksi terhasilnya sebuah Koleksi yang penting dan sangat berharga ini. Kewujudan kaum peranakan seperti Cina Peranakan (Baba dan Nyonya), Jawi Peranakan, Melayu Peranakan Siam (Kaum Melayu Samsam) dan Kaum India Peranakan (Chetti) melalui sejarah yang panjang dan mewarnai sejarah di Malaysia dan juga Asia Tenggara. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perpustakaan USM kerana mengambil inisiatif awal untuk mewujudkan Koleksi ini.

Sejarah penubuhan Koleksi ini ada hubungannya dengan satu persidangan pada tahun 2008 yang bertajuk ”Inaugural Conference Penang Chinese Peranakan and Chinese Muslims” yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Persatuan Peranakan Cina Pulau Pinang dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Maka daripada persidangan itu, USM menyambutnya dengan mengadakan Koleksi yang bersejarah ini.

Universiti Sains Malaysia ialah salah sebuah pusat pengajian tinggi (IPTA) yang sedang mentransformasikan dirinya menjadi sebuah IPTA yang bekerja keras untuk menerajui segala bidang ilmu, termasuklah mengadakan beberapa koleksi buku tokoh terkenal dalam pelbagai bidang. Koleksi Kaum Peranakan ini ialah koleksi terbaharu dan ianya mempunyai status yang lebih luas kerana merangkumi kawasan Asia Tenggara.

Penubuhan Koleksi sebegini membuktikan bahawa USM menggandingkan perkembangan ilmu sains dan seni budaya agar dapat mewujudkan persekitaran perkembangan ilmu yang sihat dan seimbang. Koleksi ini akan menjadi satu usaha yang berterusan dan pihak universiti akan terus membantu untuk menjadikan Koleksi Kaum Peranakan ini sebagai sumber rujukan yang terbaik di Asia Tenggara dan di peringkat dunia. USM juga akan memastikan Koleksi ini dapat dirujuk dengan pantas, berkesan dan mudah. Sehubungan dengan itu, teknologi ICT akan digunakan untuk memperkasa Koleksi ini di samping menempatkannya di ruang baharu serta dilengkapi dengan kemudahan ICT, mencerminkan hasrat USM ke arah ini telah bermula.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan Jawatankuasa Koleksi Kaum Peranakan Asia Tenggara untuk mengadakan majlis pelancarannya dan semoga Koleksi ini dapat mengharumkan nama USM dalam bidang perkembangan dan pemuliharaan ilmu yang ulung.

Sekian, terima kasih.

Dzulkifli Abdul Razak

 

 

 

 

 

 

 

 

Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak
Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia